King Boon Jin baru sahaja selesai menabur dedak di reban ayamnya. Begitulah rutin harian dirinya setiap petang. Jalak, Jali, dan Jimbrit mematuk-matuk dengan laju sekali, begitu gembira dengan dedak yang bertaburan di reban mereka. Tiga ekor ayam katik itu amat disayangi King Boon Jin. Dibelai bagai menatang minyak yang penuh. Dilihatnya ayam-ayam itu, begitu kusyuk sehingga matahari semakin tenggelam ditelani malam. King Boon Jin menyapu laman seketika kemudian masuk ke rumah. Melihat jam di dinding, sudah jam 7.45 malam. Malam ini dia perlu ke pekan untuk membeli ubat nyamuk. Sudah dua hari dia tidak dapat tidur lena akibat gigitan nyamuk albopictus yang berkeliaran di rumahnya. Ikutkan hatinya mahu saja dibakar rumah itu kerana terlalu banyak nyamuk. Emosinya gundah gulana rentetan nyamuk yang menghantui hidupnya. ''Ah, persetankan semua ini, malam ini juga aku beli Ridsect dan Fumakilla '', getus hati King Boon Jin menyentap-nyentap.
Di suatu tempat yang lain, pada zaman yang lain dan pada waktu yang lain. Suasana pasar malam Taman Bahagia amat meriah sekali. Ada yang menjual sate, makanan bergoreng, makanan bersalai mahupun makanan yang dikukus, semuanya ada. Ada juga yang menjual belon berisi gas yang amat disukai kanak-kanak meningkat usia. Hari semakin lewat, Sabudin berlari-lari anak ke pasar malam yang tidak jauh dari tempat tinggalnya. Niatnya ingin membeli Mee Bandung Special di gerai Pak Latip. Kuahnya dari udang galah yang diperam dan direbus dengan bahan-bahan rahsia turun temurun, begitulah yang didengarnya dari Karim Cendol, teman sekampungnya. Ramai orang telah bercerita tentang kelazatan Mee Bandung Pak Latip yang membuatkan hatinya berkobar-kobar ingin merasainya.
Sampai jua akhirnya... ''Pak Latip, mee ade lagi tak?'' , Sabudin bertanya sambil menarik nafas panjang. ''Ada ni, yang kamu tercungap-cungap macam kerang busuk ni kenapa?, Pak Latip melihat Sabudin.
''Apa pulak kaitan tercungap-cungap dengan kerang busuk ni, aku berlari ni tadi nak beli Mee Bandung Special yang Pak Latip jual, aku takut abis, kempunan pulak'' Jawab Sabudin.
''Ni ha Mee Bandung kau, semua sekali RM4.50'', Pak Latip menghulurkan bungkusan. Sabudin terdiam seketika, diraba poket belakang, kanan dan kiri, tiada bonjolan dompet mahupun rokok gudang garamnya. ''Ah sudah, aku tinggal atas meja tadi'', Sabudin bisik sendirian. ''Apa kau cakap?'' Pak Latip bertanyakan Sabudin yang kekalutan. ''Ala Pak Latip, aku tertinggal dompetla, hutang dulula nanti minggu depan aku bayar'' Sabudin berkata. ''Ok la kau punya pasal aku bagi free je malam ni, minggu depan kau datang pun aku bagi free lagi, minggu depannya lagi pun aku bagi free, bulan depan pun aku bagi free, tahun depan pun aku bagi free, dua tahun lagi pun aku bagi free, tiga tahun lagi pun aku bagi free..'' Pak Latip membebel pada Sabudin. Sabudin pula seperti hilang akal seketika apabila melihat Pak Latip membebel dihadapannya. Dilihatnya bungkusan di tangan Pak Latip dan memandang muka orang tua itu. Ikutkan hatinya mahu saja dilempangnya orang tua itu, sudahlah perutnya lapar, dompet pun tak bawak, rokok apatah lagi. Sabudin berlalu pergi dengan hati yang kecewa.
