Matahari semakin tenggelam di balik awan. Burung-burung terbang berkicauan di langit, tanda mahu pulang ke tempat tinggalnya. King Boon Jin duduk di buaian anjung rumahnya sambil melihat langit. Berangankan dirinya menjadi burung-burung yang terbang bebas di langit.
Teringat kisahnya sewaktu kecil dahulu yang suka melastik burung di hutan sehingga terkena kepala arwah Pak Naip, jirannya,sudah arwah orang tua itu. Akibat peristiwa itu juga dia di lempang oleh bapanya kerana Pak Naip tidak sedarkan diri selama 3 hari di hospital. Peristiwa itu memang tidak dapat dilupakan oleh King Boon Jin kerana sejak dari itu dia diharamkan untuk memegang lastik. Sebagai gantian, bapanya telah membelikan senapang air untuknya kerana tidak membahayakan orang lain.
Pak Naip pula lain ceritanya kerana akibat peristiwa itu, dia amat trauma apabila melihat King Boon Jin, dia akan menjerit-jerit minta dijauhkan dirinya dari budak itu dan terus pengsan. King Boon Jin tersenyum sendirian sambil menggelengkan kepalanya, 35 tahun telah berlalu. Kini Sabudin, anak Pak Naip menjadi tempat dia menebus kesalahannya, diambilnya budak itu menjadi pembekal lintah yang tetap. Sabudin tidak pernah berdendam dengan dirinya kerana sejak dari peristiwa kepala bapanya dilastik itu, bapanya tidak lagi ke hutan untuk memburu binatang.
Di suatu tempat yang lain, pada zaman yang lain dan pada waktu yang lain. Pak Kamsan menhidupkan enjin motor Yamaha RXZ miliknya. Suatu masa dahulu motor inilah yang menjadikan dirinya kegilaan anak dara kampungnya termasuk janda-janda kampung sebelah. Di lap cermin sisi kiri dan kanan. Walaupun sudah buruk, Pak Kamsan amat menyayangi motor itu. Setiap 2 bulan sekali Pak Kamsan akan menukar minyak hitam. Teringat kisah dia membawa anak dara Penghulu Talib, 1 kampung tahu ceritanya sehingga Penghulu Talib datang ke rumahnya memberikan ceramah-ceramah agama untuk menyedarkan dirinya. Walaupun begitu, kenakalannya tidak pernah berubah sehingga bapanya dalam diam meminang anak Penghulu Talib untuk dirinya. Akhirnya Halimatus Sakdiah pun sah menjadi isterinya sehingga sekarang.
"Berangankan apa tu bang, dari tadi saya perhati tersenyum sorang-sorang" Mak Limah menyapanya dari anjung rumah. "Awak ni Limah, saya baru senyum, kalau saya ketawa karang awak kata tebiat pulak.." Pak Kamsan mengangkat keningnya. "Yela bang, bawak motor hati-hati, awak tu dah la kuat berangan, jangan pulak awak langgar lagi pasu-pasu tu, bulan lepas habis semua pasu saya awak langgar.." Kata Mak Limah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. "Ala pasu tu saya jugak yang belikan.." Pak Kamsan menjawab sambil tersenyum sendirian meninggalkan Mak Limah.
