23 December 2010

Nenek Merbuk Part 3

Jam menunjukkan pukul 2.30 petang, angin sepoi-sepoi bahasa amat menyamankan suasana. Kelihatan Pak Kamsan berjalan tertinjit-tinjit di anjung rumahnya. Langkahnya agak teratur, tidak mahu Mak Limah perasan kehadirannya. Dan dia semakin menghampiri Mak Limah yang sedang menyidai pakaian di anjung rumah. Dicucuknya pinggang Mak Limah. "Opocot setan!", Mak Limah melatah sambil menepuk-nepuk hanger di tangannya ke arah dawai penyidai baju. Pak Kamsan ketawa berdekah-dekah melihat telatah Mak Limah. "Apa dah tebiat awak ni?", Mak Limah membebelkan Pak Kamsan. "Ala Limah, aku gurau je, rindu dengan zaman kita dulu-dulu, cuit sana cuit sini" Mak Limah tersenyum. "Itu dulu bang, sekarang saya dah menopaus, getah pun dah haus", Mak Limah merendahkan diri untuk mengambil pakaian di bakul. Pak Kamsan tersenyum simpul. Dia merapatkan dirinya pada Mak Limah dan memeluknya dari belakang sambil berbisik. "Limah, malam ni malam jumaat..." Mak Limah menoleh ke arah Pak Kamsan, "Gatal, itu je yang awak tau." Mak Limah mencebik, tapi dihatinya dia senang diperlakukan begitu, ibarat malu tapi mahu.


Di suatu tempat yang lain, pada zaman yang lain dan pada waktu yang lain. Sabudin mengayuh basikalnya, sepanjang perjalanan ke rumahnya dia asyik mencarutkan tauke King Boon Jin kerana tidak membeli lintahnya. Tiba-tiba basikal yang dikayuhnya terasa berat. Hati Sabudin berdegup kencang. Ditolehnya kebelakang, takut ada monyet bertenggek di raganya tapi tiada, hanya bakul berisi lintah. Tiba-tiba Sabudin dapat merasakan langit seakan berputar dengan laju. Dan dengan lajunya Sabudin mendapati kepala lututnya menyentuhi jalan tar. Kesakitan dapat dirasakan disitu, dan kemudian merebak ke tempat lain. Dan apabila mencelikkan mata, Sabudin mendapati dirinya berada di posisi kuak lentang ibarat berenang di air terjun walhal Sabudin sedar yang dia hanya terlentang di atas jalanraya yang terbentang luas. Sabudin bingkas bangun. "Celaka punya tauke, kalau kau beli lintah aku mesti basikal aku tak pancit", Sabudin membebel sendirian.






* Bersambung di episod seterusnya~

20 December 2010

Nenek Merbuk Part 2

Jam menunjukkan 3.00 pagi, Mak Limah bingkas bangun dari tidurnya. Dengkuran Pak Kamsan begitu deras sehingga mengganggu tidurnya. Ditenungnya Pak Kamsan lama-lama, kalau bukan lakinya sudah lama ditamparnya orang tua itu. "Mengganggu tidur saja", bisik hati Mak Limah.

Mak Limah menyalakan lampu di dapur. Menjerang air. Dikeluarkan tepung gandum dari raga, niat dihatinya ingin memasak jemput-jemput kesukaan Pak Kamsan. Di uli tepung sebatinya. Kemudian dimasak sepenuh jiwa raganya. 


"Assalamualaikum..Assalamualaikum..Limah, bukak pintu..aku dah balik ni.." Jeritan Pak Kamsan memecah hening subuh. Mak Limah berlari ke pintu depan. "Awal balik bang?" Pak Kamsan terus duduk di ruang tamu. "Rini takde kuliah subuh, Hj.Samsul tak dapat datang, ada family matter katanya".


Di suatu tempat yang lain, pada zaman yang lain dan pada waktu yang lain. King Boon Jin menggelengkan kepalanya. Sabudin tetap dengan harganya. "Tauke, skarang lu nak angkat lintah ni ke tak nak, kalau lu tak nak angkat, aku jual ngan orang lain je" Sabudin cuba memprotes.


"Ini macam punya lintah mau bisnes macamana Din, next time lu bawak yang hidup, nanti wa kasi angkat, ini macam punya barang wa tak nak" King Boon Jin tetap dengan pendiriannya. Sabudin bingkas mengangkat kotak yang dipenuhi lintah pencariannya, di ikat di belakang basikalnya. "Takpelah tauke, minggu depan aku bawak yang hidup punya" Sabudin berlalu pergi.


*Bersambung di episod seterusnya~

12 December 2010

Nenek Merbuk Part 1

Azan berkumandang. Sayup-sayup kedengaran. Kelihatan Pak Kamsan menuruni tangga rumah usangnya. "Limah,aku ke surau" kata Pak Kamsan sambil menyedut rokok daunnya. Pas pus pas pus asap yang di hembus Pak Kamsan berkepul-kepul di udara meliuk lentok  membentuk huruf O. Pak Kamsan tersenyum sendiri. Setelah sekian lama belajar membuat skill itu, dia amat berbangga dengan pencapaiannya. 

Basikal tuanya dikayuh begitu deras. Malam kian suram. Wakaf Mek Jenab bakal dilalui sebentar lagi. Deruan hatinya meronta-ronta ingin melepasi kawasan itu dengan lebih cepat. Baru sebentar tadi Hasim bercerita tentang kejadian anaknya yang berkhatan di Klinik Bakti. Tapi apa kaitannya dengan Wakaf Mek Jenab? Getus hati Pak Kamsan. 

"Punyala penakut anak aku, habis ditarik kain pelekat aku San, malu aku dibuatnya, nasib baik nurse tu tengok tempat lain" , Si Hasim kalau bercerita memang bersungguh-sungguh. Pak Kamsan tersenyum sendirian.

Di suatu tempat yang lain, pada zaman yang lain dan pada waktu yang lain, King Boon Jin seorang penternak lintah merungut-rungut dengan pembekalnya. "Itu hali lu cakap sama wa itu lintah idup, ini wa tengok dalam suma mati, ini macam punya bisnes wa boleh lingkupla Din..",kata King Boon Jin sambil menggaru kepala lututnya yang gatal digigit nyamuk. Sabudin tersengih. 


*Bersambung di episod seterusnya~